Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN,, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu dakwaan jenayah serta penganiayaan kanak-kanak berkaitan dengan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Seri Paduka Baginda bertitah, perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office, hari ini.

Pada 12 September lalu, media melaporkan polis memaklumkan ratusan kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Susulan itu, seramai 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak.

Sultan Ibrahim juga bertitah, semua pihak tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan melampau berkaitan isu agama.

“Ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati,” titah Seri Paduka lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here