Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai isu rumah amal GISB ketika di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyelar pihak yang mendakwa siasatan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) berbaur politik.

Tegas beliau, polis menjalankan siasatan telus bukan sekadar dapatan bukti daripada pasukannya sahaja malah daripada pelbagai pihak yang bekerjasama dengannya.

“Siapa pun cakap apa pun tidak apa, pasal dia tidak menyiasat pihak saya (polis) yang menyiasat kita ambil keterangan daripada apa yang kita ada, saya sudah cakap awal-awal kita bukannya siasat atau orang dan nak menipu.

“Tidak akanlah ini (wakil daripada Jabatan KKM (Kementerian Kesihatan), JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pakat-pakat menipu? Tidak boleh. Sebab itu saya cakap kita menyiasat apa yang kita dapat, apa yang KKM, JAKIM dapat, itu yang kita dedahkan hari ini.

“Kita tidak ada tambah dan sorok jadi apa juga masyarakat di bawah yang tidak tahu dan cakap biarlah dia bercakap,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Menurut Razarudin, hasil siasatan, setakat ini jelas mendapati secara jelas berlaku eksploitasi terhadap kanak-kanak di sebalik imej agama pemimpin GISBH.

Sehubungan itu, Razarudin menggesa supaya semua pihak tidak membuat spekulasi yang tidak berasas terhadap kes berkenaan.

“Dia tidak menyiasat, dia mendengar cakap-cakap orang sahaja dia mengambil kira dulunya baik. Di atas mungkin baik, nampak macam penderma di bawah menjadi hamba itu yang kita nampak siasatan kita.

“Di atas nampak sangat mulia tetapi di bawah perhambaan berlaku, itu yang kita siasat,” ujarnya.

Baru-baru ini tular video seorang lelaki mendakwa Op Global khusus menyiasat eksploitasi kanak-kanak yang berlaku di pusat amal GISB berbaur politik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast