TEHRAN – Timbalan Koordinator Tentera Iran, Habibollah Sayyari menegaskan negara itu “pasti” akan bertindak balas terhadap serangan Israel terhadap bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.
“Tindak balas terhadap kematian Ismail Haniyeh adalah pasti, tetapi masanya akan ditentukan oleh Iran,” kata Sayyari kepada media China di Forum Xiangshan di Beijing pada hari Selasa.
Bekas ketua Hamas itu dibunuh dalam serangan yang disasarkan Israel di Tehran pada akhir Julai lalu.
Berucap pada forum itu, Sayyari mengingatkan campur tangan negaraa-negara luar dalam hal keselamatan rantau ini hanya akan menimbulkan huru-hara.
“Kami menentang campur tangan negara asing di rantau ini,” ujarnya.
Beliau menekankan, kemajuan Tehran dalam keupayaan pertahanan sejak Revolusi Islam, walaupun sekatan Barat berterusan.
Sayyari turut menegaskan kebanyakan latihan ketenteraan dan perolehan peralatan untuk tentera darat, laut dan udara Iran berlaku di negara-negara Barat sebelum Revolusi Islam 1979.
Bagaimanapun, Iran telah membuat kemajuan yang ketara dalam melatih pasukan tenteranya di dalam negara dan telah membangunkan pelbagai peralatan ketenteraan. – Agensi