Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Golongan usahawan muda di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berharap lebih banyak premis perniagaan dapat dibuka di sekitar kawasan itu bagi membolehkan mereka  memulakan perniagaan.

Dalam masa sama, mereka turut berharap premis perniagaan itu dapat disewakan pada harga berpatutan sekali gus menyokong golongan itu mengembangkan perniagaan mereka.

Seorang penjaja makanan, Ada Rafeah Tasmin, 50, berkata, dia yang hampir 16 tahun berniaga sarapan pagi di tepi jalan dekat sini, berhasrat untuk berniaga di sebuah premis atau kedai makan.

Ada Rafeah Tasmin

Namun, katanya, impian itu masih belum dapat direalisasikan memandangkan sewa kebanyakan premis atau rumah kedai di kawasan tersebut terlalu mahal dan di luar kemampuannya.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mengawal dan menurunkan harga bahan mentah kerana bagi penjaja kecil seperti saya, keuntungan kami tidaklah besar dan kadang-kadang tidak mampu menyerap kos harga barang yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Ada Rafeah bersama-sama lebih 100 usahawan muda lain meyertai sesi pertemuan bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah di Dewan Muafakat Kampung Tengah, di sini.

Sementara itu, seorang lagi usahawan, Mohd. Taufiq Sahrudin, 38, mahu lebih banyak inisiatif dan bantuan dapat diberikan dalam memudahkan golongan muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Mohd Taufiq Sahrudin

Dia yang mengusahakan kedai baju terpakai (bundle) sejak lima tahun lalu berkata, ramai anak-anak muda termasuk di DUN Mahkota berminat untuk memulakan perniagaan sendiri.

Tetapi mereka berdepan kekangan seperti modal yang terhad dan sewa premis yang terlalu mahal hingga membantutkan hasrat mereka.

“Saya berharap ada pihak dapat membantu dan membimbing usahawan muda sedia ada untuk kami membentuk jawatankuasa atau persatuan sendiri.

“Ini membolehkan kami menyalurkan segala masalah atau permohonan bantuan untuk memperkembangkan perniagaan kami secara teratur kepada pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussien berkata, beliau mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh usahawan muda dalam pertemuan tersebut yang disifatkan antara kumpulan penting dalam merancakkan ekonomi negeri.

“Sudah semestinya sekiranya saya dipilih sebagai wakil rakyat DUN Mahkota kelak, saya akan lakukan yang terbaik sebagai penghubung antara usahawan muda ini dengan agensi-agensi berwajib seperti  Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional supaya segala bantuan yang diperlukan mereka dapat dipermudahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast