KUANTAN – Seramai 161 orang atlet Pahang yang meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak diraikan hari ini.

Mereka menerima insentif berjumlah RM391,000 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kerajaan negeri ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

“Walaupun kita berada ditangga ke sembilan tapi bilangan pingat kita bertambah, emas bertambah satu kemudian gangsa bertambah lima.

“Keseluruhan kita mendapat 76 pingat, emas 23, perak 21, 32 gangsa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif itu, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Pahang menaikkan kadar insentif pemenang pingat emas Sukma kepada RM 6,000 berbanding RM4,000 sebelum ini bagi atlet individu.

Setiap pemenang pingat emas atlet berpasukan menerima RM2,000 setiap seorang berbanding RM1,000 sebelum ini.

Bagi atlet yang memenangi pingat perak kategori individu menerima insentif RM3,000 manakala RM1,500 bagi kategori berpasukan.

Atlet yang memperoleh pingat gangsa menerima insentif RM1,500 bagi kategori individu dan RM1,000 bagi kategori berpasukan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menaikkan kadar insentif kepada atlet yang berjaya merangkul pingat pada temasya Sukma Selangor pada 2026.

“Kenaikan insentif itu perlu seiring dengan sasaran penambahan jumlah pingat pada temasya sukan itu nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here