Banduan lolos dari Hospital Sungai Buloh, Kalai Kumar Anandan sedag diburu polis sejak kejadian petang Rabu.Ihsan IPD Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menjejaki seorang banduan yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital  Sungai Buloh, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pusat kawalan IPD Sungai Buloh menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.56 petang.

“Pihak hospital memaklumkan bahawa satu banduan lelaki tempatan didapati telah tiada di katilnya dan disyaki telah melarikan diri dari hospital Sungai Buloh.

“Identiti banduan yang hilang itu adalah A. Kalai Kumar berusia 27 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hafiz, semasa kejadian banduan itu sedang mendapatkan rawatan di wad hospital berkenaan di bawah kawalan warden penjara.

Jelasnya, banduan itu mempunyai lapan rekod kesalahan lampau iaitu empat kesalahan jenayah dan empat lagi kesalahan jenayah narkotik.

“Pihak polis kini sedang giat meneruskan usaha untuk menjejaki dan menangkap banduan yang melarikan diri dari hospital berkenaan.

“Untuk identity fizikal banduan itu beralamat di no 14, Jalan Lembing, PK, Lorong 1, Kuantan Pahang dan berketinggian 169 sentimeter dan mempunyai berat badan 70 kilogram dan bertatu lambing ‘crown’ di bahagian dada,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau berhubung terus dengan mana-mana IPD atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here