Seorang bekas pensyarah IPTA yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menetapkan 20 Oktober ini bagi sebutan semula kes seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang kontraktor yang didakwa ada kaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Keputusan tersebut diputuskan Hakim Hazelia Mohammad selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang sebelum itu memaklumkan masih menunggu beberapa lagi laporan pakar.

Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail berkata, antara laporan yang masih belum diterima adalah laporan forensik, laporan lengkap ideologi, beberapa laporan terhadap buku-buku fizikal yang dimiliki tertuduh, laporan perbualan WhatsApp dan laporan video.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes itu ke tarikh baharu dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik semua dokumen lengkap diterima pihak pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh, Abdullah Daud, 70, dan Mohamad Awang, 48, tiba di Kompleks Mahkamah, di sini, dengan kawalan ketat pihak polis pada pukul 8.30 pagi.

Abdullah yang kelihatan uzur kemudian dibawa menaiki kerusi roda daripada lokap mahkamah ke bilik mahkamah di tingkat lima.

Pada 21 Julai lalu, Abdullah didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas IS serta memiliki dua buku bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah yang juga bahan berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Warga emas itu turut didakwa memiliki dua buku digital dan dua video bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya selain membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Melayu Kangkar Pulai di sini antara 3 September 2023 hingga 28 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan jika sabit kesalahan.

Manakala Mohamad pula didakwa memiliki bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Daya, di sini, pukul 7.05 pagi, 23 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here