Wakil UTeM menyampaikan pakej bantuan kepada Dharshini Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM kepada Dharshini Subramaniam, seorang penuntut dari keluarga kurang berkemampuan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terdahulu menyelami keperitan Dharshini yang merupakan seorang anak yatim dan tinggal bersama ibunya yang merupakan OKU masalah penglihatan serta menghadapi permasalahan kewangan.

Bagi mencapai cita-cita seorang pelajar cemerlang ini di UTeM, universiti ini menawarkan enam pakej bantuan kepada agar Dharshini menyambung pengajian di sini menerusi program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan kepujian bagi kemasukan Oktober nanti.

Massila berkata, pakej utama bantuan untuk beliau adalah bantuan Biasiswa Anak Emas UTeM menerusi Yayasan Tun Canselor yang akan membiayai kos pengajian merangkumi yuran dari awal sehingga tamat pengajian termasuk wang sara hidup bulanan RM500 sehingga selesai pengajian.

“Seterusnya lima bantuan lagi adalah bantuan wang tunai berjumlah RM 1,500.00, bantuan sebuah komputer riba bagi tujuan pembelajaran dan bantuan Food Bank kepadanya.

“Dharshini juga akan diberikan penginapan di asrama sehingga tamat pengajian dan turut diberi bimbingan kaunseling dan kerjaya bagi membantu beliau dalam pengajiannya.

“Pada masa yang sama pihak UTeM turut menyampaikan sumbangan mewakili bagi pihak Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi kepada beliau,” ujarnya.

Tambah Massila, enam pakej bantuan ini menzahirkan betapa UTeM sentiasa cakna kepada pelajar terpilih yang kurang berkemampuan namun dalam kategori cemerlang akademik dan komited ingin mengubah nasib keluarga dengan menyambung pengajian di sini,” ujar Massila.

Pakej bantuan UTeM ini disampaikan oleh pihak UTeM ke kediaman Darshini di Bukit Mertajam, Pulau Pinang .

UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Kehadiran wakil UTeM menandakan satu sinar baharu bakal merubah kehidupan Darshini dan ibunya yang tercinta.

Dharshini, 21, sama sekali tidak menyangka kehadiran pihak UTeM ke rumahnya dan menyampaikan bantuan berpakej premium ini.

Beliau menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor UTeM, Dr Massila dan Pejabat HEPA atas keprihatinan UTeM dan beliau bertekad untuk belajar dengan penuh keazaman bagi menggapai cita-citanya menerusi UTeM.

Sementara itu, ibunya Saraspathy Dorasamy, 60, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada UTeM atas pakej bantuan pengajian yang ditawarkan ini.

“Ini merupakan satu anugerah terindah buat kami anak beranak dan saya mendoakan agar Darshini akan terus berjaya di UTeM,” katanya.

UTeM selaku Universiti TVET Terbaik di Malaysia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan malah turut menyerlah dalam aspek kebajikan buat seluruh pelajarnya, bahkan sentiasa proaktif dan membuka ruang kemasukan pelajar kepada semua lapisan masyarakat sejajar dengan lima fokus dan 20 landasan yang telah digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here