Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq

BATU PAHAT – Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, 52, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu berkuat kuasa mulai 15 September 2024 sehingga 14 September 2026.

Lantikan itu telah dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (6) Perlembagaan UTHM.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Profesor Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail yang telah tamat tempoh pelantikannya.

Rasid sebelum ini merupakan Dekan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM.

Anak kelahiran Terengganu itu turut memegang beberapa jawatan penting di universiti antaranya pernah Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Ketua Pusat Advanced Centre for Technical and Vocational Education (ACTiVE).

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Perancangan Bandar dan Wilayah, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan keupayaan komuniti khususnya bagi pembangunan program pelancongan berasaskan komuniti.

Beliau mempunyai pengalaman mengajar lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pengkhususan dalam pelancongan.

Untuk rekod, Rasid memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1998 di Politeknik Johor Bahru (kini dikenali Politeknik Ibrahim Sultan), dan merupakan kumpulan perintis di politeknik tersebut sebelum memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di UTHM pada tahun 2005.

“Saya mula melibatkan diri dalam hal ehwal pelajar sejak tahun 2000 setelah dilantik sebagai felo semasa di Politeknik Johor Bahru.

“Ketika di UTHM saya mula terlibat dalam kepimpinan sejak tahun 2006 selepas dilantik sebagai Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan yang pertama di Fakulti Pendidikan Teknikal (FPTek),” katanya.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat kedoktoran, Prof. Rasid sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) pada tahun 2014 sehingga 2019 sebelum dilantik sebagai Dekan FPTV.

Dalam tempoh menyandang jawatan itu, beliau telah memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan kepada lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menyambung pengajian ke program ijazah Sarjana Muda Pendidikan vokasional dalam tujuh pengkhususan di FPTV.

Lebih membanggakan, setelah Rasid dilantik sebagai Dekan FPTV, beliau terus memperjuangkan agenda TVET negara sehingga UTHM berjaya menawarkan program TVET termaju yang dikenali sebagai Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology –B.Tech) dalam tujuh bidang di bawah FPTV yang menggunakan pendekatan Work-based Learning (WBL).

Menerusi program itu, sebanyak enam syarikat milik pelajar telah berjaya ditubuhkan di FPTV dan salah satu daripadanya berjaya meraih kedudukan antara lima ‘Syarikat Pemula Terbaik’ di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam tempoh beliau menjawat jawatan dekan, FPTV terus mencipta sejarah apabila berjaya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Industri Perkhidmatan Makanan yang menggunakan mod pengajian perantisan pertama di Malaysia.

Menerusi program selama tiga tahun itu, para pelajar hanya perlu mengikuti pengajian satu semester sahaja di kampus manakala selebihnya di industri.

Selain itu, kepimpinan Rasid turut terserlah apabila diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Awam Malaysia bermula januari 2024.

Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam bidang TVET, beliau terus diberi tanggungjawab mengangotai Ahli Jawatankuasa Kerja Tadbir Urus TVET, Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK).

Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau turut dilantik sebagai Lembaga Eksekutif dalam Regional Association Vocational Technical Education (RAVTE).

Ketika ditanya tentang hala tuju atau pendekatan yang bakal dibawa beliau ketika menggalas tanggungjawab sebagai TNC (HEPA), Rasid berkata, beliau akan terus memberi fokus kepada misi melahirkan graduan yang holistik sifatnya, iaitu seimbang dari aspek pemikiran, kompeten dan keperibadian unggul sebagai bakal sumber tenaga negara.

Bukan itu sahaja beliau berhasrat untuk membentuk diri pelajar yang mempunyai nilai-nilai integriti yang tinggi serta cakna dan prihatin terhadap masyarakat.

”Fokus kepada kemenjadian pelajar ini seharusnya menjadi tanggungjawab semua dan saya amat yakin dengan perancangan, strategi dan program-program yang dirangka secara berfokus mampu menjayakan matlamat tersebut.

“Saya juga percaya membina hubungan yang baik dengan semua pihak berkepentingan dapat memastikan usaha yang akan dilaksanakan nanti berhasil.

“Aspek kemudahan dan kebajikan pelajar adalah antara fokus penting dalam mendasari kejayaan kepada aspek-aspek lain,” tambah beliau.

Rasid juga turut menyatakan hasrat beliau yang ingin membentuk pelajar berminda keusahawanan, sekali gus menyokong hala tuju UTHM untuk menjadi sebuah Global Technopreneur University menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here