KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar melahirkan rasa kecewa dengan keadaan kemudahan gelanggan futsal dan bola keranjang di Taman Sri Kluang, di sini, yang tidak diselenggara.
Menurutnya, keadaan gelanggang itu sangat menyedihkan dan seolah-olah terbiar dengan tiang besi berkarat, permukaan lantai simen tidak rata, pagar yang berlubang serta tandas yang rosak.
Apa yang lebih membimbangkan, tambah beliau, penduduk setempat khususnya kanak-kanak dan remaja tetap menggunakan gelanggang itu untuk bersukan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.
“Penduduk setempat tidak ada pilihan dan terpaksa menggunakan gelanggang ini untuk beriadah meskipun keadaannya sangat daif.
“Kita tertanya-tanya mengapa pihak berwajib boleh membiarkan kemudahan sukan ini tanpa sebarang usaha membaik pulih.
“Adakah mereka menunggu berlakunya kecederaan dalam kalangan penduduk baru tindakan mahu diambil?” katanya kepada pemberita ketika meninjau situasi gelanggang sukan itu, di sini, hari ini.
Tambah Mohamad Haizan yang juga lebih dikenali sebagai Coach Haizan, beliau yang tinggal berhampiran kawasan itu juga mendapati gelanggang sukan tersebut sudah terbiar lebih lapan tahun lalu.
Lebih mengecewakan, katanya, meskipun beberapa laporan sudah dibuat wakil penduduk supaya keadaan gelanggang sukan itu dibaiki, namun tidak ada sebarang usaha dilakukan sehingga kini.
“Sebagai seorang bekas pemain dan jurulatih bola sepak, situasi gelanggang ini sudah semestinya membuatkan saya rasa kecewa dan terkilan.
“Jadi, saya berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan sewajarnya untuk membaik pulih fasiliti sukan ini demi kemudahan dan keselamatan penduduk setempat,” katanya. – MalaysiaGazette