KLUANG – Hubungan mesra yang sudah sedia terjalin dengan komuniti India akan digunakan sebagai kelebihan buat calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah untuk menarik undi masyarakat itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurut Syed Hussein, beliau sudah lama menggunakan pendekatan seperti sebuah keluarga besar bangsa Johor setiap kali turun padang bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti India.
Malah masyarakat India di Kampung Padang Tembak dekat sini juga, adalah komuniti pertama yang disantuninya selepas dipilih menjadi sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian.
“Masyarakat India di sini sebenarnya sangat sinonim dengan saya, dan saya juga sangat selesa dengan mereka, jadi mudah bagi saya mendengar isi hati dan masalah mereka.
“Sebab itu dalam kempen ini saya tidak menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya lebih menonjolkan semangat kekeluargaan yang besar kerana setiap masyarakat tanpa mengira kaum sangat dekat di hati saya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika berkempen bersama komuniti masyarakat India sempena PRK DUN Mahkota di Balai Raya Kampung Padang Tembak malam tadi.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, MIC akan terus giat menjalankan kempen bersemuka dengan seluruh masyarakat India di DUN Mahkota bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK itu.
Jelas beliau, jentera MIC tidak berdepan masalah untuk menonjolkan Syed Hussein memandangkan calon BN itu merupakan pemimpin muda yang sudah sedia dikenali dalam kalangan masyarakat India.
“Malah masyarakat India juga mengenali bapa dan datuk Syed Hussein yang mana mereka memang berasal dari Kluang, jadi tidak sukar untuk kita membantu kempen beliau.
“Sebab itu kita dapat lihat sambutan masyarakat India pada malam ini sangat luar biasa, ramai yang hadir semata-mata untuk bertemu Syed Hussein,” katanya.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan 66,318 pemilih dalam PRK DUN Mahkota pada 28 September ini merupakan pengundi India. – MalaysiaGazette