Ahmad Maslan dalam sidang akhbar ketika hadir dalam Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota harus bertanggungjawab dengan tidak menabur fitnah semasa berkempen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua pihak perlu berkempen secara sihat dan tidak menanamkan politik kebencian semasa berkempen.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mahu semua pihak mengikut cara orang Johor berpolitik yang sederhana dan tidak melampau.

“Jangan buat fitnah itu yang penting. Perkara yang tidak ada diada-adakan dan direka-rekakan. Itu tak bagus dan tak betul. Itu bukan cara Johor (berpolitik).

“Sepatutnya (budaya politik seperti ini) tidak menjadi cara (berpolitik) di Malaysia yang menyebar fitnah dan kebencian yang seterusnya akan jadi budaya politik di Johor dan Malaysia,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubunan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali ketika berucap dalam Ceramah Kelompok PN di Kampung Baru di sini malam kelmarin mendakwa, Malaysia bakal jatuh ke tangan kaum Cina berikutan kewujudan projek Forest City yang memberikan manfaat kepada golongan berkenaan.

“Saya merasakan seramai 1.2 juta warganegara China yang pernah didakwa berada di Malaysia melalui projek Forest City itu sememangnya wujud. Mungkin mereka dah jadi suami orang, isteri orang, dah berkeluarga, kemudian mohon taraf kewarganegaraan pula untuk jadi rakyat Malaysia.

“Kalau perkara ini terus dibiarkan, tak mustahil kawasan tersebut akan dimonopoli oleh kaum itu. Kemudian, bila mereka dah semakin ramai, nanti letak calon wakil rakyat pun berbangsa Cina.

“Seterusnya, semakin banyaklah kawasan yang akan ditadbir oleh masyarakat Cina dan tak mustahil jika dibiarkan satu hari nanti, Malaysia ini akan dipimpin di bawah orang Cina,” kata Syed Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dakwaan Syed Hassan yang warga China diberi kerakyatan tidak benar sama sekali dan merupakan itu isu lama yang dimainkan semula dalam kempen PRK DUN Mahkota.

Ditanya sama ada UMNO akan membuat laporan polis kerana dakwaan itu menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R), beliau berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

Mengenai tuduhan UMNO memberikan sumbangan beras semasa berkempen, Ahmad menjelaskan, bantuan itu disampaikan sebelum hari penamaan calon lagi.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, bantuan tersebut diberikan menerusi Bantuan Kasih Johor dan tidak ada kena mengena dengan PRK DUN Mahkota.

“Sebelum hari penamaan calon pada Sabtu lepas, kita nak beri apa pun boleh. Itu sudah kita berikan dan kita tak beri masa kempen,” ujar beliau.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here