Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar bercakap ketika ditemubual sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Keadaan kesihatan isterinya yang kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini, tidak mematahkan semangat calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar untuk terus berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Malah, kata Mohamad Haizan, isterinya iaitu Rohimah Daud, 58, tetap memberikan semangat kepadanya untuk terus kuat dan menunaikan tanggungjawab sebagai calon seperti yang diamanahkan oleh parti kepadanya.

Menjelaskan lanjut, ujar Mohamad Haizan, isterinya menerima rawatan akibat jangkitan kuman dalam darah sejak 16 hari lalu, namun keadaannya kini dilaporkan semakin stabil.

“Saya kuat sebab isteri saya kata ‘go for it’ (teruskan berkempen sebagai calon PN)… sebab isteri saya beri sokongan yang kuat, jadi tiada masalah… kekuatan saya pada isteri saya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mohamad Haizan ditanya bagaimana beliau mengimbangi kerja-kerja kempen dalam situasi isterinya sedang menerima rawatan di hospital.

Terdahulu, beliau terpaksa memendekkan sesi bertemu pengundi tengah hari ini di Warung Saad, Kampung Melayu dekat sini, kerana perlu bergegas untuk melawat isterinya di hospital.

Sementara itu, ditanya berkenaan desas-desus kempennnya diboikot jentera Pas Kawasan Kluang, Mohamad Haizan menafikan perkara tersebut.

Malah, katanya, beberapa pemimpin Pas Kawasan Kluang sentiasa mengiringinya dalam setiap sesi kempen bertemu pengundi di sekitar DUN Mahkota selain dibantu jentera Pas dari negeri-negeri lain.

“Dakwaan itu tak betul, siapa cakap tak bantu, mereka ada dengan saya, bukan sahaja Pas Kawasan Kluang, malah jentera Pas seluruh negara pun ada bantu,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kempennya turut dibantu oleh jentera parti komponen PN lain termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sebelum ini, timbul dakwaan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Pas Kawasan Kluang berikutan pemilihan Mohd. Haizan yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang sebagai calon PRK DUN Mahkota.

Ini kerana beberapa pemimpin Pas sebelum ini mendesak calon daripada parti tersebut diberi peluang berikutan calon Bersatu iaitu Mohamad Nor Linggan gagal memenangi kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here