Onn Hafiz (dua kiri), Ahmad dan Ka Siong (tengah) merakam kenangan bersama tetamu dalam dalam Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Tidak benar UMNO melarang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkempen kerana bimbang menejejaskan sokongan pengundi terhadap parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin masalah yang timbul antara Dr Akmal dan Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal tidak akan mempengaruhi pengundi untuk menolak parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu menjelaskan, ini kerana isu berkenaan merupakan isu peribadi mereka dan tidak melibatkan parti.

“Ini adalah isu peribadi dan tiada kaitan antara UMNO dan DAP. Ini clash antara dua peribadi,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubunan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Terdahulu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor menyuarakan kebimbangan serangan Dr Akmal terhadap Teresa berhubung isu pensijilan halal berisiko mengecewakan orang bukan Melayu yang menyokong PH dan tidak akan keluar mengundi nanti.

Dr Akmal dibimbangi akan menjejaskan undi terutama kaum Cina yang berjumlah 35 peratus daripada 66,318 pengundi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here