KUALA LUMPUR – Pengarah muzik veteran, Datuk Ooi Eow Jin meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat sakit tua di Hospital Kuala Lumpur pada kira-kira 3.30 petang tadi.

Khabar duka itu dimaklumkan oleh penyanyi Datuk DJ Dave iaitu Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) yang menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik negara.

“Saya menerima panggilan daripada isteri mendiang Datin Khaw Lean Kee yang memaklumkan perkara itu. Mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park Shah Alam esok untuk urusan pengebumian.

“Sebelum ini, mendiang menghidap penyakit Alzheimer dan tidak ingat apa-apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, Ooi adalah antara penerima bantuan bulanan YKAT sebanyak RM500 sejak tahun lepas.

Ooi memulakan kerjaya dalam arena muzik dengan menganggotai Orkestra RTM selama empat dekad bermula 1963 hingga 1983 sebelum berhijrah ke TV3 setahun kemudian.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan sebuah universiti pada 1989 dan tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kerjaya terakhir Ooi ialah sebagai pemain piano solo di sebuah hotel di ibu negara hingga Jun 2015.

Beliau banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Datuk M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here