Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. - Foto Ihsan Polis

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dan dilanggar oleh motosikal lain dari arah sama di Tambak Johor berdekatan Bangunan Sultan Iskandar, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Raub Selamat berkata, dalam kemalangan jam 1.40 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang berumur 50an hilang kawalan dan  melanggar penghadang konkrit di kiri jalan.

“Mangsa telah terjatuh di atas jalan raya dan seterusnya dilanggar motosikal lain kerana mangsa tidak sempat mengelak.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis memohon saksi kejadian tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan kepada pihak polis atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Fathiah Ismail di talian 010-4171762. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here