Kenderaan yang dirampas daripada lima individu yang merupakan ahli GISBH di sempadan Bukit Kayu Hitam jam 6 petang Rabu 18 September 2024 . Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki yang disyaki ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan itu dilakukan Unit Risikan Sempadan Zon Utara Polis Diraja Malaysia selepas mengesan dua motorhome yang mempunyai lambang GISBH pada nombor pendaftaran kenderaan itu kira-kira jam 6 petang.

“Hasil pemerhatian menerusi Op Global itu pasukan polis mendapati kesemua kenderaan terbabit telah bergerak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Tindakan pemeriksaan pantas telah dibuat oleh pasukan polis dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan itu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Razarudin, mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 41 tahun dan dua daripadanya berasal dari Kampung Melayu Subang, Shah Alam dan Bandar Country Homes, Rawang Selangor.

Dua lagi individu berasal dari Segamat dan Johor Bharu, Johor sementara seorang lagi suspek beralamat dari Lumut, Perak, tambah beliau.

“Semakan lanjut mendapati kesemua individu itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Razarudin berkata, penahanan suspek membawa kepada rampasan tiga kenderaan iaitu dua motorhome dengan nombor pendaftaran Dubai serta sebuah kereta Perodua Myvi.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here