Pesawat Lufthansa. Foto Flightradar24

FRANKFURT – Syarikat penerbangan utama Lufthansa dan Air France menggantung penerbangan ke Tel Aviv, Tehran dan Beirut sehingga Khamis selepas ketegangan di rantau itu meningkat susulan letupan alat kelui di Lubnan.

Lufthansa berkata, ia menangguhkan semua penerbangan ke Tel Aviv dan ibu negara Iran, Tehran manakala syarikat penerbangan Perancis Air France menggantung penerbangan ke bandar Israel dan ibu kota Lubnan Beirut.

“Disebabkan perubahan dalam situasi keselamatan baru-baru ini, syarikat penerbangan Kumpulan Lufthansa telah memutuskan untuk menangguhkan semua sambungan ke dan dari Tel Aviv dan Tehran berkuat kuasa serta-merta,” kata Lufthansa dalam satu kenyataan.

Arahan ini terpakai sehingga dan termasuk 19 September.

Dalam tempoh ini, ruang udara Israel dan Iran juga akan dipintas oleh semua syarikat penerbangan Kumpulan Lufthansa, katanya.

Lufthansa menambah, ia memantau dengan teliti keadaan dan “akan menilai lebih lanjut dalam beberapa hari akan datang”.

Lufthansa minggu lepas telah melanjutkan penggantungan penerbangannya ke Beirut sehingga 15 Oktober.

“Disebabkan keadaan keselamatan di destinasi, Air France menggantung sambungannya dari Paris-Charles de Gaulle dan Beirut (Lubnan) dan… Tel Aviv (Israel) sehingga 19 September 2024 termasuk,” kata syarikat Perancis itu dalam kenyataan kepada AFP.

Air France berkata, ia akan “menilai setiap hari keadaan” di Timur Tengah dan menegaskan bahawa “keselamatan pelanggan dan kru kami adalah keutamaan mutlak”.

Air France sebelum ini menangguhkan penerbangan ke Tel Aviv dan Beirut berikutan ketegangan antara Israel dan Hezbollah.

Beratus-ratus alat kelui yang digunakan oleh anggota Hezbpllah meletup di seluruh Lubnan pada hari Selasa, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan kira-kira 2,800 orang.

Hezbollah mendakwa letupan itu didalangi Israel. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here