Mayat seorang warga emas yang sebelum ini hilang selepas keluar selepas membuat rawatan ditemukan di bandar Muar, hari ini.

MUAR – Misteri kehilangan seorang warga emas yang keluar selepas membuat rawatan di Masjid Tanah di Melaka sejak kelmarin terjawab apabila ditemui mayatnya di sini hari ini.

Warga emas berkenaan, Ramli Kasim, 63, sebelum itu keluar rumah pada pukul 4 pagi untuk mendapatkan rawatan dialisis tetapi tidak pulang selepas itu.

Anak mangsa, Firdaus, 30, berkata, bapanya mendapatkan rawatan itu kerana menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Saya telah membuat laporan kehilangannya pada 16 September setelah dia tidak pulang ke rumah. Kebiasannya selepas membuat rawatan dialisis, dia akan pulang ke rumah.

“Susulan itu saya membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah dan pagi ini polis Muar telah menghubungi saya mengenai penemuan ayah dalam kereta.

“Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dan tetap bersyukur ayah kami telah ditemui setelah dua hari hilang tanpa khabar,” katanya ketika dihubungi.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu selepas orang awam menghubungi talian kecemasan 999.

“Warga emas tersebut dditemui meninggal dunia dalam kereta di bandar Muar dipercayai selepas membuat rawatan dialisis di Masjid Tanah Melaka.

“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta Proton Saga warna kelabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya telah merakam percakapan anak mangsa yang merupakan pemilik kenderaan itu yang mengesahkan bapanya menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani dialisis di Masjid Tanah.

“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan oleh pihak polis dan ⁠kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Tambah Raiz Muhkliz, siasatan masih diteruskan dan mayat di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here