Mohd Rosli Abdullah

PUTRAJAYA- Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi PenguatkuasaanMaritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ketujuh berkuat kuasa semalam.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.

Mohd Rosli berpengalaman hampir tiga dekad dalam bidang keselamatan maritim, juga memiliki kepakaran dalam merancang pelaksanaan operasi maritim khususnya dalam menangani isu jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan kontraban serta rompakan di laut.

Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau ialah OPS Pelantar Merah yang menghasilkan tangkapan berprofil tinggi sekali gus mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak di perairan negara.

Terbaharu beliau sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

Mohd Rosli disiatkan sebagai seorang yang komited dalam menjalankan tugas yang diberikan dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Maritim Malaysia termasuk menerajui jawatan Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia. -MalaysiaGazette