Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang adalah bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen.

Wakil rakyat kerajaan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, MoU antara kerajaan dan pembangkang itu bersifat membelenggu kebebasan ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang.

“Di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan setiap anggota Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah. Kandungan sumpah itu antara lainnya ialah setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

“Satu ciri penting Perlembagaan Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa.

“Prinsip pengasingan kuasa itu bertujuan untuk memelihara tiga badan utama negara iaitu Kerajaan dan mahkamah, masing-masing bebas menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi MoU tersebut telah mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli parlimen pembangkan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Perikatan Nasioanal (PN) membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan itu dilakukan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa dan mengokong kebebasan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan kerajaan terbuka sekiranya MoU mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding semula.

Namun, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada PN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ahli Parlimen kerajaan, pembangkang atau bebas apabila telah menandatangani dokumen angkat sumpah di hadapan Yang di Pertua atau Speaker Dewan Rakyat maka mereka terikat dengan sumpah tersebut.

Menurutnya, mereka akan hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau shadow government terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara,” ujarnya.

Katanya lagi, cadangan memperkenalkan MoU tersebut pada asasnya satu contoh pencerobohan kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli-ahli Parlimen pembangkang iaitu pihak yang penting dalam Parlimen.

“Cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut juga boleh dianggap pihak sksekutif  iaitu kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Dewan dan Parlimen.

“Reformasi yang dikehendaki di Parlimen ialah kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang Peruntukan kawasan parlimen, bahawa setiap Parlimen diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.

“Setiap ahli Parlimen sama ada blok kerajaan atau blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here