Bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah merogol anak saudara di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya, bulan lalu.

Mohd Idris Abot, 31, yang mendakwa dirinya orang kurang upaya (OKU) mental membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol wanita berusia 33 tahun yang mana perhubungannya dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan dalam bilik sebuah rumah dekat Taman Cempaka, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi 26 Ogos lalu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia tidak mempunyai penjamin dan memohon untuk merujuk kepada pakar psikiatri memandangkan mempunyai rawatan susulam terhadap kesihatan mentalnya.

Rasidah kemudian tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh sehingga sebutan semula kes pada 25 September ini bagi menyemak semula status OKU seperti yang didakwa tertuduh.

“Saya minta pegawai penyiasat kes mengemukakan semua dokumen berkaitan status OKU tertuduh termasuk kad OKU dan kad temujanji rawatan kesihatan mental pada tarikh yang akan datang dan akan menetapkan jumlah jaminan sekiranya tertuduh sudah mempunyai penjamin,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Mohd Idris didakwa melakukan rompakan wang tunai RM40, S$20 dan telefon bimbit milik anak saudaranya itu di lokasi, masa dan hari yang sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hazelia Mohammad.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga syarat tambahan itu sebelum turut menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan laporan kesihatan mental OKU tertuduh dikemukakan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here