Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan untuk menguatkuasakan fatwa terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) perlu melalui proses libat urus di antara pihak berkuasa agama dan yang berkaitannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, proses-proses yang ditetapkan akan menentukan keputusan yang tuntas terhadap kumpulan yang mencetuskan kontroversi itu.

“Kita akan meneruskan proses seperti mana yang ditetapkan bermakna apa-apa pengisytiharan atau keputusan mesti melalui proses-proses libat urus dengan pihak-pihak yang berkaitan.

“Kita tidak boleh melangkau daripada pihak-pihak berkaitan supaya kita dapat satu keputusan yang tuntas yang mendapat legitimasi daripada semua pihak-pihak yang berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Antarabangsa Madani Ummatan Wasata Peneraju Keharmonian, Pembangunan Dan Keamanan Global di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya hari ini.

Semalam, bekas Menteri Agama yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa pihak berkuasa agama setiap negeri menguatkuasakan fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1994  supaya pengikut Al-Arqam kembali ke pangkal jalan sepertimana yang diajarkan oleh syariat Islam.

Sebagai rekod, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 mengharamkan kumpulan Al-Arqam atas dasar fahamannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

GISBH sebelum ini dikaitkan dengan bekas anggota Al-Arqam dan didakwa masih meneruskan ajaran pertubuhan itu yang telah diharamkan dan difatwakan sesat.

Namun syarikat tersebut sudah beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan itu

Terbaharu, pada 14 September lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, pihaknya akan membentangkan kajian mengenai isu akidah, syariah dan tasawuf membabitkan GISBH kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AMANAH gesa kuatkuasa fatwa 1994 terhadap GISBH

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here