Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes Op Global membabitkan 20 rumah amal dikaitkan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH).

Sebelum ini lebih 400 kanak-kanak yang disyaki dieksploitasi telah diselamatkan dalam beberapa serbuan serentak di Negeri Sembilan dan Selangor pada 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes terbabit termasuk membabitkan beberapa video tular yang menunjukkan penderaan dialami kanak-kanak di rumah amal tersebut.

“Walaupun beberapa individu telah dituduh namun kita masih dalam proses melengkapkan siasatan lain dalam kes ini. Siasatan lanjut dalam sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, polis setakat ini telah merekodkan sebanyak 740 rakaman percakapan untuk membantu siasatan kes operasi serbuan di rumah amal GISBH.

Daripada jumlah terbabit, sebanyak 30 keterangan adalah melibatkan rakaman percakapan daripada pengadu, saksi (216 orang), mangsa (392) dan suspek (102 orang).

Jumlah kumulatif kertas siasatan yang telah dibuka oleh polis bagi Fasa 1 dan 2 setakat ini adalah sebanyak 33 kertas siasatan dalam kes yang sama.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka pada Fasa 1 iaitu enam kertas di Selangor dan empat kertas siasatan dibuka di Negeri Sembilan manakala Fasa 2 menyaksikan sebanyak 23 kertas siasatan dibuka iaitu 16 di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kertas siasatan dibuka di Perlis dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here