KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah disifatkan pemimpin realistik yang diperlukan pengundi di kawasan tersebut.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sejak mula berkempen, Syed Hussein tidak menabur janji-janji manis kepada pengundi sebaliknya menawarkan kerja keras untuk menyelesaikan masalah penduduk di DUN Mahkota.
Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau, calon BN itu turut memilih untuk fokus kepada isu-isu penting dan berusaha secara praktikal untuk menyelesaikannya.
“Kalau kita fikir, inilah sebenarnya yang kita perlukan iaitu pemimpin yang tahu had kemampuan diri bukannya menabur janji palsu hanya untuk menang kerusi,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Lebih menarik, tambah Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Negara, Syed Hussein juga mempunyai akses kepada kerajaan negeri yang ketika ini ditadbir oleh UMNO dan BN sekiranya terpilih sebagai ADUN Mahkota yang baharu.
Jelas beliau, dengan sokongan daripada kerajaan negeri dan Pusat maka lebih banyak pembangunan boleh dilakukan dengan lancar di DUN Mahkota.
“Jalan raya boleh diturap, masalah air boleh diselesaikan, kebajikan rakyat dapat diperhatikan dengan lebih teliti. Bukannya macam calon-calon yang hanya pandai bercakap besar tapi akhirnya tak ada kuasa untuk buat apa-apa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk DUN Mahkota membuat pilihan yang bijak pada hari pengundian 28 September ini dengan memilih Syed Hussein yang disifatkan mampu bekerja dengan efektif.
“Syed Hussein dah tunjukkan sikap dan pendekatan yang matang dalam menangani isu-isu setempat. Dengan cara bekerja yang lebih praktikal dan rasional, beliau adalah calon yang tepat untuk membawa perubahan yang realistik di DUN Mahkota.
“Pengundi Mahkota, inilah masanya untuk memilih pemimpin yang benar-benar mahu bekerja untuk anda, bukan yang hanya pandai berjanji manis hanya untuk sekeping kertas undi,” katanya. – MalaysiaGazette