PUTRAJAYA – Promosi pakej masuk ke Malaysia menerusi platform Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain antara modus operandi kegiatan counter setting yang digunakan sindiket atau ejen.
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ejen akan menghubungi pegawai Imigresen menerusi aplikasi WhatsAapp untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong.
“Pegawai Imigresen kemudian akan memberikan green light (lampu hijau) jika tarikh berkenaan sesuai. Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai Imigresen terbabit.
“Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Tambah Azam lagi, antara jumlah suapan yang dibayar setiap warga asing kepada pegawai imigresen terlibat sekitar RM200 hingga RM2,500.
Katanya, kesemua transaksi tersebut dibuat secara tunai dan bersemuka serta pembayaran tersebut dikendalikan oleh ejen atau sindiket.
Menurutnya, bagi warga Bangladesh sebanyak RM2,500 dengan kod panggilan School Boy, Myanmar (Junta, RM 1,500), Pakistan (Karpet, RM1,300).
Ada juga yang terpencil iaitu Yaman (RM1,000), India (Kicap / Roti Canai, RM800), Uzbekistan (RM500), China (Limau, RM350), Vietnam (Laici / Nguyen, RM350) dan Indonesia (Salak, RM300).
Terdahulu, Azam melaporkan seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasa bersekongkol dalam kegiatan counter setting di pintu negara ditahan SPRM.
Kesemua mereka telah ditahan menerusi Ops Pump, Ops Pump 2.0 dan Ops Setting, yang dijalankan bermula 20 Ogos hingga kini.
Tambah Azam, daripada jumlah itu 50 pegawai penguat kuasa terlibat adalah 49 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – MalaysiaGazette