Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa bersekongkol dalam kegiatan sindiket membawa masuk warga asing melalui counter setting di pintu masuk negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua mereka telah ditahan menerusi Ops Pump, Ops Pump 2.0 dan Ops Setting, yang dijalankan bermula 20 Ogos hingga kini.

Katanya, daripada jumlah itu 50 pegawai penguatkuasa terlibat adalah 49 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pecahan tangkapan adalah 12 orang pegawai JIM di Selangor, Negeri Sembilan (80, Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Johor (4), Melaka (4), Bahagian Perisikan (9) serta seorang sarjan wanita PDRM di Kuala Lumpur.

“SPRM turut menahan 10 ejen sindiket terlibat dalam counter setting ini yang mana dua dicekup di Kuala Lumpur manakala lapan lagi merupakan orang awam atau keldai akaun ditahan di Pulau Pinang dan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

Azam turut memaklumkan, sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes berprofil tinggi serta mengambil keterangan 95 individu yang terlibat.

Pihaknya turut menyita wang tunai sebanyak RM518,250  daripada seorang pegawai wanita Imigresen Kanan Gred KP22 di Pahang yang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidurnya.

“Selain itu, sejumlah wang tunai sebanyak RM248,443 juga dirampas daripada pegawai lelaki Imigresen Kanan Gred KP19 di Melaka yan ditemui di bawah katil bilik tidur utama.

“Ini menjadikan jumlah sitaan wang tunai berjumlah lebih RM1.4 juta berjaya dirampas, dan SPRM turut menyita mata sejumlah AS$9,900 serta Baht 5,470,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azam memaklumkan, SPRM juga menyita sembilan buah kenderaan dan 13 unit motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang rasuah tersebut.

Turut dirampas 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000 daripada pegawai wanita Imigresen Kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan.

“Bukan itu sahaja, kita juga merampas lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket serta subang, serta lebih 12 jam tangan  pelbagai jenama dan lebih 30  telefon pintar pelbagai jenama dan komputer riba,” ujarnya.

SPRM turut membekukan sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu yang keseluruhannya berjumlah RM3.6 juta.

Berhubung proses pertuduhan, katanya, seorang ejen warga Myanmar telah dituduh pada 28 Ogos di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan empat lagi individu yang juga ejen akan dituduh dalam  masa terdekat, sementara baki suspek masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here