Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir pada Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 (KSPN 2024) di Hotel Doubletree, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan pendekatan mudah dengan menebang pokok-pokok yang berusia dan uzur di negara ini yang kerap kali tumbang ketika musim hujan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah penjagaan dan pemulihan perlu dilakukan ke atas pokok berusia ratusan tahun kerana sesetengah mempunyai nilai tertentu.

“Kita ada Majlis Landskap Negara, koordinasi antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai wewenang (kuasa) untuk penjagaan pokok-pokok tua yang mempunyai nilai dan ia perlu dipertahankan.

“Namun dari segi praktikalnya kita harus melihat bagaimana usaha-usaha dalam jangka masa panjang dapat dibuat dengan tidak menebang tapi menggunakan kaedah tertentu.

“Ia membolehkan pokok itu ada di sana dan tidak memberi mudarat kepada masyarakat yang berada di kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 (KSPN 2024) di Hotel Doubletree, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2024.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata demikian mengulas insiden dua pelancong warga China meninggal dunia selepas kereta yang diletakkan di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan dihempap pokok tumbang dan bongkah runtuhan bangunan dalam kejadian di Lebuh Gereja, Georgetown Pulau Pinang, semalam.

Mangsa seorang lelaki dan wanita dipercayai mempunyai pertalian bapa dan anak masing-masing berusia 50-an dan 30-an hanya dapat dikeluarkan pada jam 5.15 petang iaitu selepas kira-kira tiga jam insiden itu dilaporkan berlaku. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here