KUALA LUMPUR – Banyak laman aplikasi X (dahulu dikenali Twitter) di seluruh dunia digodam hari ini.
Ia turut melibatkan banyak akaun syarikat korporat, agensi kerajaan, portal media, selebriti, pemain bola dan individu terkenal.
Di Malaysia antara yang digodam adalah laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, portal berita Malaysia Gazette dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Bagaimanapun rata-rata sudah dipulihkan dengan menukar kata laluan yang dicuri penggodam.
Menurut portal BleepingComputer, akaun yang digodam termasuk MoneyControl (1.4 juta pengikut), People Magazine (7.8 juta) dan juga EUinmyRegion (sebuah akaun yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Eropah) dengan hampir 100, 00 pengikut.
Semua godaman menyiarkan tulisan “THIS IS HACKED ACCOUNT! INTRODUCING $HACKED ON SOLANA on each account we hack we publish the token address so we pump it and make profits together”.
Tindakan penggodaman akaun X telah mencetuskan skim pam dan buang (pump and dump) yang mempromosi token mata wang kripto bernama $HACKED Solana.
Bagaimanapun setakat ini tidak jelas cara penggodam menjejaskan akaun X yang menjadi mangsa tetapi ia mungkin melalui kunci Application Programming Interface (API) yang terjejas atau aplikasi pihak ketiga yang dipautkan ke akaun tersebut. – MalaysiaGazette