Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertemu penduduk dalam kempen PRK DUN Mahkota di Kluang, Johor, semalam.

KLUANG – Orang Melayu tidak seharusnya terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah kononnya UMNO sanggup gadaikan agama Islam dan keistimewaan bumiputera apabila memilih untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mustahil sama sekali untuk pimpinan parti membiarkan perkara tersebut berlaku semata-mata untuk memastikan mahu berkuasa.

Sebaliknya, tegas beliau, pendirian serta syarat ditetapkan UMNO sebelum menyertai kerajaan hari ini juga amat jelas iaitu semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan mesti menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebab itu, kalau ada suara-suara sumbang yang menyatakan UMNO ini berbaik-baik dengan DAP, maka kita telah gadaikan perjuangan agama Islam dan orang Melayu, itu tidak mungkin sama sekali dilakukan UMNO.

“Bahkan hari ini, alhamdulillah, DAP juga menerima baik dan menghormati syarat yang kita letakkan itu (hormat kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu). Itu sebenarnya yang paling penting dan paling utama,” katanya.

Beliau berucap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Menurut Asyraf Wajdi, keputusan UMNO dan BN menyertai Kerajaan Perpaduan juga kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu supaya semua parti politik bekerjasama untuk membentuk sebuah kerajaan bagi memastikan pentadbiran negara dapat berfungsi.

Malangnya, kata beliau, ketika kesemua 18 parti politik berkepentingan bersetuju dengan titah cadangan Yang di-Pertuan Agong pada November 2022 itu, Perikatan Nasional (PN) memilih menjadi satu-satunya parti politik yang menolak cadangan tersebut.

“Cuba bayangkan jika pada November 2022 itu, Allah membuka pintu hati Muhyiddin (Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menerima titah cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, maka kita hari ini sudah mempunyai sebuah kerajaan yang aman dan stabil tanpa ada permusuhan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengundi DUN Mahkota berkenaan kelebihan yang bakal dinikmati mereka sekiranya calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih menjadi wakil rakyat pada 28 September ini.

Jelasnya, suara hati penduduk DUN Mahkota akan lebih untuk disampaikan dan didengari kerajaan negeri serta Kerajaan Pusat apabila dibawa oleh Syed Hussein yang mewakili parti sama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Sebab itu, saya mahu pada PRK kali ini, kita mampu menang dengan majoriti lebih 1,000 undi di PDM Taman Ilham ini, sebab pada pilihan raya negeri lalu kita kalah sedikit di sini, jadi jentera-jentera yang ditugaskan perlu bekerja dengan lebih kuat untuk memastikan kemenangan calon BN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast