Tangkap layar sebuah walkie-talkie yang meletup di sebuah rumah di Lubnan

TOKYO- Syarikat Jepun, Icom memaklumkan, pengeluaran model radio yang dilaporkan digunakan dalam insiden letupan terbaharu di Lubnan sudah dihentikan pengeluaran sejak 10 tahun lalu.

“IC-V82 adalah radio tangan (walkie-talkie) yang dikilangkan dan dieksport termasuk ke Asia Barat dari 2004 hingga Oktober 2014.

“Pengeluarannya sudah dihentikan 10 tahun lepas dan sejak itu ia tidak lagi dijual oleh syarikat kami.

“Penghasilan bateri yang diperlukan untuk mengoperasikan unit utama juga telah dihentikan.

“Manakala pelekat hologram yang boleh membezakan produk asli dengan palsu pula tidak disertakan, jadi agak mustahil untuk mengesahkan sama ada produk berkenaan (yang digunakan dalam letupan tersebut) dihasilkan daripada kilang kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Icom, produk-produk untuk pasaran luar negara dijual secara eksklusif menerusi pengedar yang sah dan program eksport juga perlu melepasi undang-undang kawalan keselamatan Jepun.

“Kesemua radio kami dikilangkan di bahagian produksi milik anak syarikat, Wakayama Icom Inc.

“Di bawah Wakayama Prefecture ia perlu melalui sistem pengurusan yang ketat maka tiada alat ganti boleh digunakan dalam satu-satu produk selain yang telah dinyatakan secara khusus oleh syarikat kami.

“Tambahan pula, kesemua radio kami dikilangkan di kilang yang sama.

“Kami tidak pernah mengilangkan produk di luar negara,” tambah kenyataan itu lagi.

Semasa gelombang kedua insiden letupan di kubu kuat Hizbullah di Lubnan pada Rabu, 20 orang terbunuh manakala lebih 450 lagi cedera.

Menurut sumber yang rapat dengan Hizbullah berkata, walkie-talkie telah digunakan untuk meletupkan kubu kuat kumpulan pejuang itu di Beirut.

Insiden itu berlaku sehari selepas ratusan alat kelui meletup serentak di beberapa kawasan menyebabkan 12 termasuk dua kanak-kanak terbunuh, manakala 2,800 lagi cedera.- AFP

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here