Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di Pharmaniaga Life Science Sdn. Bhd hari ini.

PUCHONG – Fasiliti penghasilan vaksin dan insulin pertama di Malaysia bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tempatan malah antarabangsa.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, usaha Pharmaniaga itu telah menelan pelaburan mencecah RM300 juta dan pihaknya percaya ia dapat memberikan pulangan lumayan.

Pembinaan fasiliti pertama itu dilakukan oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) atas kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad (Boustead Holding).

“Perasmian fasiliti ini sekali gus dapat membantu kelangsungan ubat negara kerana dapat menghasilan insulin dan vaksin untuk 13 jenis penyakit.

“Jumlah insulin yang tinggi diperlukan untuk memenuhi keperluan pesakit kencing manis dan diabetes. Malahan keperluan ubat juga semakin meningkat apabila kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk insulin sahaja,” katanya dalam sidang media selepas perasmian fasiliti pengilangan itu di sini hari ini.

Pengilangan yang dilakukan oleh syarikat tempatan itu juga diramal dapat menjimatkan kos kerana kerana dapat mengurangkan jumlah eksport terutamanya dalam pembelian insulin untuk pesakit diabetes.

Pharmaniaga juga diharap tidak akan hanya bergantung kepada pasaran dalam negara untuk keluaran insulin dan vaksin tetapi juga untuk pasaran luar negara.

“Pharmaniaga turut bersedia untuk memenuhi keperluan Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Difahamkan, antara vaksin yang dapat dihasilkan adalah untuk jangkitan pneumokokal, diphtheria, hepatitis B, pertussis, tetanus, haemophilus influenza type b dan polio manakala insulin melibatkan diabetes.

Mengulas lebih lanjut, Mohamed Khaled berharap kewujudan fasiliti pengilangan vaksin dan insulin itu akan menjadi satu bentuk pelaburan yang dapat mendatangkan keuntungan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast