Idris ketika berucap dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Kempen UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota didakwa masih seperti era 60-an yang sudah ketinggalan zaman.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, BN masih mencari salah pihak lawan dan membuat dakwaan yang tidak berasas dalam usaha meraih sokongan pengundi.

Walaupun begitu, Ahli Parlimen Bagan Serai itu yakin pengundi bijak menilai dan tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) mampu merampas kerusi DUN Mahkota.

Calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, katanya, apabila menang akan berganding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang lain dalam DUN Johor untuk membawa suara rakyat.

“Ini bukan perkara yang mustahil kerana saya yakin dan percaya pengundi-pengundi yang berada di DUN Mahkota kebanyakan kawasan bandar yang senang untuk akses maklumat melaui hujung jari.

“Walaupun kita tahu komen-komen yang dibuat PH dan UMNO, kadang-kadang mereka masih dengan cara lama (berkempen zaman) ala televisyen hitam putih.

“Mereka masih lagi memainkan isu-isu (dengan mendakwa PN) kononnya kita menolak pembangunan, isu-isu yang kononnya PN berpecah belah kerana ramai pemimpin Pas tidak hadir semasa hari penamaan calon PRK DUN Mahkota, Sabtu lalu.

“Itu politik zaman 60-an zaman hitam putih, sekarang dah boleh tahu perkembangan semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Mengulas lanjut, Idris berkata, pemimpin tertinggi tidak hadir kerana perlu mengadakan Muktamar Pas ke-70 yang diadakan pada hari yangb sama dengan hari penamaan calon.

Beliau menjelaskan, Pas perlu menyelesaikan muktamar tersebut yang sudah ditetapkan lebih awal.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here