SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan penting untuk mencorak semula dan memperbaiki masa depan 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dipercayai milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB Holding).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua kementerian itu perlu memastikan kanak-kanak malang berkenaan menerima pendidikan dan tidak lagi dibelenggu kaedah pembelajaran daripada organisasi tersebut.
“Kita harus melihat bagaimana soal pendidikan atau TVET itu sendiri dapat disuntik agar mereka mempunyai masa depan dan tidak hanya terikat kepada apa yang dihadapi sepanjang di dalam organisasi itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Pada Rabu lalu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.
Antara modus operandi digunakan, mangsa dipercayai didedahkan cara meliwat sebelum diliwat penjaga dan dipaksa pula untuk meliwat penghuni lain.
Kumpulan itu juga dipercayai menggunakan kanak-kanak dan sentimen agama untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memuji langkah proaktif yang diambil Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengambil tanggungjawab menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
“Kita lihat bahawa mereka diletakan di satu tempat di mana ada abang dan kakak yang menjadi menjadi pemerhati kepada mereka.
“JKM saya fikir harus diberikan peranan untuk melihat perkara begini dan pembentukan sahsiah peribadi anak-anak tidak dikesampingkan dan akan dibina semula untuk menjamin masa depan anak-anak ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette