KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki susulan tular sebuah video seorang kanak-kanak lelaki menangis teresak-esak dikelilingi unggun api dipercayai didera secara mental oleh ayah kandungnya sejak semalam.

Ketua Polis Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki berkenaan diberkas dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina di sebuah perhentian bas hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 2 pada jam pukul 10.30 malam semalam.

Menurutnya sepasukan polis bahagian jenayah dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan dengan kerjasama IPD Maran dan telah membuat rampasan barang-barang kes ketika tangkapan dijalankan.

”Sebelum ini pengadu merupakan isteri suspek yang dalam fasa perceraian telah menghantar anak lelakinya, berusia 2 tahun 6 bulan ke kediaman suaminya di Apartment Sutravilla Jalan Pelindung Damai 5 di Beserah.

”Kemudian pengadu telah dihalau dari rumah tersebut setelah diceraikan pada 15 September lalu dan kini tinggal berasingan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Setelah itu, pengadu telah menerima beberapa video yang dihantar oleh suspek yang memukul dan memarahi anak lelaki mereka tanpa sebab dan menyebabkan kanak-kanak tersebut kelihatan seperti trauma serta ketakutan.

Semalam (18 September), jam 4.27 petang  pengadu sekali lagi menerima beberapa video bekas suaminya memarahi anak mereka dengan memukul dan mengugut untuk membakar kanak-kanak tersebut.

Difahamkan viedo berkenaan sebagai ugutan dan protes berkaitan kemelut rumah tangga mereka kerana suspek tidak bersetuju dengan penceraian tersebut.

”Suspek pernah terlibat dengan kes penyalahangunaan dadah dan melarikan anak lelaki pengadu dengan menaiki kereta jenis Nissan Grand Livina warna putih.

”Pengadu merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya lalu membuat laporan polis dan pihak kami bertindak segera,” katanya.

Suspek berusia 35 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan hasil siasatan lanjut mendapati  lelaki itu mengaku terlibat dalam kes yang disiasat kerana tertekan.

Dia kini direman selama tiga hari sejak ditangkap.

Wan Zahari berkata, kes masih dalam siasatan lanjut termasuk perbuatan suspek ke atas anak kandungnya  di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here