Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah terus meningkat setakat 8 malam ini manakala di Pulau Pinang dan Perlis mencatatkan penurunan.

Di KEDAH, mangsa banjir di tujuh daerah yang dipindahkan ke 32 PPS meningkat kepada 4,426 orang daripada 1,306 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 3,831 orang daripada 1,135 keluarga petang tadi.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tujuh daerah terjejas ialah Kota Setar sebanyak 1,691 orang, Kubang Pasu (1,089 orang), Pokok Sena (840 orang), Pendang (482 orang), Kuala Muda (131 orang), Bandar Baharu (107 orang) dan Kulim (86 orang).

Bagaimanapun, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan jumlah sungai yang berada pada paras bahaya di negeri itu berkurang kepada tujuh berbanding sembilan petang tadi.

Tujuh sungai itu adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman; Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR; Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir menurun kepada 590 orang daripada 161 keluarga setakat malam ini berbanding 594 orang petang tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di lapan PPS di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti di SPT ditutup pada 2.40 petang tadi selepas banjir di kawasan itu pulih sepenuhnya.

“SPU masih kekal paling ramai mangsa banjir iaitu 447 orang daripada 116 keluarga yang ditempatkan di SK Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting.

“SPT pula mencatatkan 102  mangsa daripada 25 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, SMK Permatang Rawa manakala SPS pula 41 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di Dewan MPKK Sanglang,” menurut laporan itu.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di tiga PPS menurun kepada 115 orang setakat 8 malam ini berbanding 148 orang pada petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata PPS SK Sena di Kangar menempatkan 31 mangsa manakala SK Dato Ahmad Musa dan SK Kubang Gajah dalam Parlimen Arau masing-masing menempatkan 47 dan 37 orang.

“Mangsa banjir adalah dari Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena dan Kampung Seberang Tambang bagi kawasan Kangar. Kawasan Arau pula melibatkan Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah,” katanya dalam kenyataan malam ini. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here