Kamaluddin Abdullah, mewakili bapanya untuk menerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara daripada Anwar Ibrahim sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

 

KUALA LUMPUR – Tun Abdullah Ahmad Badawi diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Anugerah Khas yang diadakan buat julung kalinya itu telah disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tan Sri Kamaluddin Abdullah, yang mewakili bapanya, dan disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz pada upacara
perasmian MIHAS 2024.

Mantan perdana menteri itu dipilih untuk menerima Anugerah Khas tersebut atas peranannya mengwujudkan ekosistem yang kukuh dalam memposisi industri halal Malaysia pada tahap kualiti dan kepercayaan global.

Kini, industri Halal merupakan antara sektor yang paling pesat berkembang dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang tahun 2030.

Menjangkau usia 50 tahun, industri halal Malaysia bermula apabila kerajaan mula mengeluarkan surat-surat pengesahan Halal kepada pengilang yang memenuhi kehendak syarak, dan Malaysia merupakan negara pertama mewujudkan piawaian berkaitan halal yang menjadi rujukan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pembangunan industri halal dipelopori oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Di bawah pentadbiran Abdullah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif ekonomi berkaitan Halal termasuklah memperkenalkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada tahun 2004 dan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) pada tahun 2006.

Bermula dengan jumlah RM200 juta yang dicatatkan 20 tahun dahulu, MIHAS telah berkembang menjadi pameran perdagangan Halal terbesar di dunia, dengan jualan mencecah RM3.2 bilion pada tahun lalu.

Secara kumulatif, MIHAS telah berjaya menjana jualan lebih RM24 bilion melalui penyertaan 10,000 pempamer dan 7,000 wakil pembeli antarabangsa.

Hampir 500,000 pelawat perdagangan telah menghadiri MIHAS sepanjang penganjurannya, menjadikan ia destinasi utama untuk pemain halal dunia.

Dengan pelbagai anugerah serta pencapaian yang telah dikecapi, termasuk  terbaharu, bagi kehadiran terbesar dalam Pameran Perdagangan Halal oleh Guiness World Records, MIHAS kini menjadi jenama unggul dalam pembangunan industri halal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here