Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama jentera UMNO ketika berkempen sempena PRK DUN Mahkota di PDM Taman Ilham, Kluang, Johor, malam tadi. - Foto: UMNO Online

KLUANG – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu memikirkan tentang nasib dan masa depan mereka selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 28 September ini sebelum membuat keputusan menyokong mana-mana calon.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Syed Hussein Syed Abdullah bukan sahaja menawarkan wakil rakyat dari sebuah kerajaan negeri yang sudah sedia stabil malah turut sealiran dengan Kerajaan Pusat.

Sedangkan, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkenaan, calon Perikatan Nasional (PN) pula menang, ia tetap kekal hanya sebagai wakil rakyat pembangkang yang sudah pasti tidak memberi banyak kelebihan kepada penduduk Mahkota berbanding calon BN.

Datuk Megat Zulkarnain Omardin

“Sebab itu sangat penting untuk pengundi DUN Mahkota nanti memilih bukan kerana mengikut emosi atau mempercayai fitnah tetapi kena lihat apa yang akan berlaku selepas 28 September nanti (hari pengundian).

“Bukan saya mahu merendahkan kemampuan calon PN tetapi jika menang, beliau akan tetap jadi ADUN pembangkang, jadi bagaimana khidmat yang boleh diberikan selepas itu?

“Sebab itu, saya yakin tanpa mengira DUN ini kerusi tradisi atau kubu kuat UMNO, dengan kerja kuat kita dan ingatan terhadap jasa yang telah dilakukan bekas ADUN Mahkota (Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain), maka calon BN, Syed Hussein pasti dapat memberikan khidmat yang baik di sini,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Taman Ilham di sini malam tadi.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, pengundi DUN Mahkota juga perlu menilai kesungguhan dan semangat tinggi yang ditunjukkan Syed Hussein sepanjang tempoh kempen setakat ini untuk mewakili suara mereka di peringkat kerajaan negeri.

Jelasnya, walaupun banyak pihak menyatakan kemenangan sudah berada di pihak BN, namun Syed Hussein tidak mengambil mudah dalam gerak kerja kempennya dan tetap turun bersemuka dengan seramai mungkin pengundi di DUN Mahkota.

“Pucuk pimpinan UMNO memantau pergerakan kempen Syed Hussein setiap hari dan kita lihat beliau dengan usianya yang masih muda dan tanpa mengambil kira kelebihan ada padanya, begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here