KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia pada bulan Ogos 2024 terus merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kenaikan 18.6% tahun ke tahun kepada RM252.65 bilion, kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan.

Eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1% kepada RM129.16 bilion dan import mengembang sebanyak 26.2% kepada RM123.49 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Pertumbuhan eksport pada Ogos 2024 telah dipacu terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dalam kenyataan di sini.

Selain itu, tambahnya,  eksport barangan perkilangan mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit.

Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan.

Eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16% pada tahun 2024 disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih
kukuh.

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini, meningkat 10.9% kepada RM1.905 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.

Eksport naik 6% kepada RM991.36 bilion dan import mengembang sebanyak 16.8% kepada RM913.18 bilion, menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 bilion.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global sebanyak 3.2% pada tahun 2024, pada masa yang sama menekankan mengenai risiko inflasi yang mungkin berlaku dan ketegangan perdagangan yang berterusan.

Bagi Malaysia, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada tahun 2024, menggambarkan prospek ekonomi yang stabil.

Ini dilihat konsisten dengan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1% pada separuh tahun pertama (1H) 2024 yang melebihi pertumbuhan 4.1% dicatatkan pada separuh pertama 2023.

Di sebalik perkembangan positif ini, MITI dan agensinya akan terus memberikan perhatian untuk menangani sebarang cabaran atau gangguan global yang berkemungkinan akan berlaku agar Malaysia dapat mengekalkan momentum ekonominya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here