Perunding syarikat hartanah direman lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bernilai RM3,000 semalam.

MELAKA – Seorang perunding syarikat hartanah direman lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bernilai RM3,000 semalam.

Perintah reman sehingga 23 September ini terhadap suspek lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap tiba kira-kira pukul 9.15 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek ditahan pukul 6.30 petang semalam dalam satu serbuan di sebuah kafe di sini selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang kontraktor.

Wang berkenaan dipercayai adalah sebagai dorongan melantik kontraktor tersebut untuk membina sebuah rumah kediaman satu tingkat di daerah Melaka Tengah, Melaka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here