Calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah ketika berkempen bersama komuniti masyarakat India sempena PRK DUN Mahkota di Balai Raya Kampung Padang Tembak, di Kluang, Johor, malam tadi

KLUANG – Sebanyak 38 permit kempen ceramah dan kempen bergerak diluluskan polis untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sembilan permit kempen dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN) manakala 29 permit kepada Perikatan Nasional (PN).

“Permit kempen yang diluluskan itu dimohon oleh kedua-dua parti bertanding sejak hari pertama kempen bermula.

“Setakat ini hanya satu permit ditolak yang dipohon BN iaitu permit tayangan (Big Screen) disebabkan tiada kelulusan daripada Pejabat Pegawai Daerah Kluang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, permit kempen yang dipohon dan diluluskan kepada BN membabitkan pembesar suara, ziarah rumah ke rumah, syarahan, flashmob dan program taqarub.

Permit kempen yang dipohon dan diluluskan kepada parti PN pula katanya, membabitkan syarahan awam terbuka, ziarah rumah ke rumah, siaraya bergerak, syarahan awam, ceramah berkelompok dan busking.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan salah laku PRK DUN Mahkota,” ujar beliau.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here