Azmin bersalam dengan Mohamad Haizan sejurus calon PN itu tiba dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Tidak timbul isu Pas boikot apabila tiada wakil daripada kepimpinan tertinggi hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengarah Utama PN bagi PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Azmin Ali berkata, ketidakhadiran pemimpin tertinggi Pas Pusat kerana mereka menghadiri Muktamar Pas ke-70 di Temerloh pada hari yang sama.

“Walaupun begitu Pas ada menghantar Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi mewakili kepimpinan Pas Pusat.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mengarahkan semua kepimpinan Pas Johor tidak perlu hadir muktamar sebaliknya hadir pada hari penamaan calon tersebut.

“Jadi tidak timbul soal boikot kerana mereka sedang melaksanakan muktamar dan itu kehendak ROS (Pendaftar Pertubuhan) (untuk mengadakan muktamar),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Azmin yang juga Ketua Penerangan PN mengulas dakwaan Pas memboikot susulan pimpinan Pas Pusat tidak kelihatan pada hari penamaan calon PRK DUN Mahkota Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas semalam sudah mula menghantar 100 ahli Pas Dewan Muslimat Pas untuk bertugas sebagai jentera dalam PRK DUN Mahkota.

Jelasnya, lebih ramai jentera Pas akan hadir selepas ini dan kepimpinan tertinggi mereka sedang mengatur gerak kerja tersebut.

Selain itu katanya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga akan datang membantu PN berkempen dan perkara tersebut sudah dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Begitu juga katanya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah menyatakan komitmen untuk membantu PN berkempen terutama dalam menarik sokongan orang muda.

Menurutnya, terdapat 52 peratus dalam PRK DUN Mahkota adalah pengundi muda dan penting untuk PN mendapatkan sokongan golongan tersebut.

“Malam ini pun (wakil) mereka (Muda) datang dan ini menunjukkan petanda baik, mereka akan bantu kita dalam gerak kerja,” ujar Ahli Majlia Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here