Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiring oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (lima kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua kiri) merasmikan Program Jualan Istimewa Madani Angkatan Tentera (JIMAT) selepas melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) khusus untuk anak-anak pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibuka dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan menjadi MRSM kedua seumpamanya selepas MRSM Kem Terendak di Melaka.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, ketika ini perbincangan lanjut sedang dijalankan bersama pihak Kementerian Pertahanan untuk menentukan lokasi sesuai bagi penubuhan MRSM khusus untuk anak-anak warga ATM berkenaan.

“Kita akan bincang di mana lokasi sesuai, sama ada akan menjadikan salah satu daripada empat buah MRSM yang sudah dibina tapi belum beroperasi ketika ini sebagai MRSM ATM itu atau perlu pembinaan yang baharu.

“Tetapi jika perlu dibina yang baharu ia akan mengambil masa yang panjang,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiring oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia selepas melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan warga ATM sempena lawatan kerja beliau di Kem Mahkota dekat sini.

Dalam lawatan itu, beliau turut melakukan lawatan ke tapak projek Poliklinik Kem Mahkota selain melancarkan Jualan Istimewa MADANI Keluarga Angkatan Tentera (JIMAT) di kem berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kesemua pelajar Islam Tingkatan Satu di 57 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara tahun ini juga sudah mengikuti program Ulul Albab.

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas melihat pencapaian akademik yang lebih baik dalam kalangan pelajar MRSM yang terlebih dahulu mengikut program tersebut.

Jelas beliau, meskipun kesemua pelajar Islam MRSM itu kini perlu mengikuti program Ulul Albab, namun mereka bebas memilih bidang akademik atau bidang pengajian lain ketika melanjutkan pendidikan dari Tingkatan Dua hingga Tingkatan Lima.

“Keputusan ini selepas beberapa kajian yang kita lakukan yang mana pelajar yang mengikuti program Ulul Albab lazimnya pencapaian akademik mereka lebih tinggi.

“Ini mungkin kerana barakah (berkat) mereka menghafaz sebanyak 30 juzuk al-Quran yang menyebabkan minda dan daya ingatan mereka lebih (baik) daripada biasa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiring oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mengalu-alukan sekiranya taska atau institusi pendidikan pra sekolah di bawah ATM mahu memperkenalkan modul pra tahfiz yang dilaksanakan di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara ketika ini.

“Kita boleh adakan kunjungan supaya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi penasihat kepada kurikulum pra tahfiz ini bersama-sama Yayasan Pahang dan Pintar Kebangsaan dapat berunding untuk guru-guru agama dalam Kagat (Kor Agama Angkatan Tentera) dilibatkan bersama-sama sekiranya tadika di ATM juga mahu dijadikan pra tahfiz,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here