Gambar fail peranti yang meletup di Beirut pada Selasa. FOTO AFP

BEIRUT- ‘Walkie-talkie’ yang digunakan kumpulan pejuang Hezbollah meletup di kawasan luar bandar Beirut serta Lembah Beeka pada Rabu.

Insiden itu menyebabkan 20 kematian dan lebih 450 lagi cedera, sehari selepas insiden letupan serupa berlaku pada alat kelui kumpulan tersebut.

Kejadian terbaharu itu juga telah meningkatkan kebimbangan berlakunya konflik lebih teruk di antara Hezbollah dengan Israel.

Dalam pada itu Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, jumlah kematian akibat letupan pertama pada Selasa meningkat kepada 12 orang merangkumi dua kanak-kanak, manakala hampir 3,000 yang lain cedera.

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak Israel berhubung kejadian itu.

Pihak Amerika Syarikat pula menafikan sebarang penglibatan dalam letupan itu.

Katanya, mereka akan meneruskan diplomasi intensif bagi mengelakkan ketegangan konflik semakin meningkat.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi pula menuduh Israel mendorong Asia Barat ke kancah peperangan dengan mencipta pelbagai langkah meningkatkan ketegangan di rantau itu.- Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here