Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 13 Bil. 1 Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 45 orang penjawat awam diberi pengiktirafan dan ganjaran sebanyak RM107,400 kerana melaporkan perbuatan serta menolak tawaran rasuah pada tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ganjaran itu diberikan berdasarkan penilaian suruhanjaya tersebut.

Jelasnya, ia adalah berdasarkan surat pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara bertajuk ‘Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’ berkuat kuasa mulai 1 Jun 2011.

Menurut Azam, ganjaran yang akan diberikan mengikut nilai suapan yang terlibat atau nilai rasuah yang diberikan kepada pengadu, beserta dengan sijil penghargaan.

“Bagi nilai suapan yang kurang daripada RM500, maka ganjaran yang akan diberikan adalah nilai minimum RM500 seperti mana yang telah dinyatakan dalam ‘Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 13 Bil. 1 Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Penguam Cara Negara II, Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Mohd Asri Mohamed Ali; Ketua Unit Integriti, Kementerian Kewangan, KPKPj Kamaruddin M Ripin dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

Sebagai rekod, jumlah pemberian ganjaran daripada SPRM tahun ini meningkat 74 peratus berbanding RM28,450 pada 2023.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here