Pempengaruh, Mohd Hazalif Mohd Hazani bersama Isteri, Aisyah Hijanah hadir ke Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan. Foto AIZAT ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – “Kita akan bagi kerjasama penuh sehingga kes selesai.”

Itu reaksi pempengaruh, Aisyah Hijanah Azhari ketika diminta mengulas mengenai dua pertuduhan yang dihadapi suaminya, Alif Teega di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Aisyah dan Alif dan direman empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Perintah reman dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan mereka.

Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Aisyah enggan mengulas mengenai status perkahwinannya yang mana beliau dipercayai telah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Ampang, di sini, Ogos lalu.

Terdahulu tertuduh, Alif Teega, atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menyeleweng wang infaq lebih RM63,000 pada April dan Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan infaq Iftar di Mekah, Syria, Palestin.

Bagi pertuduhan kedua pula didakwa dengan kesalahan sama dengan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di KL Gateway Mall 2, Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini pada 26 April dan 15 Jun lalu. 

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala peguam mewakili tertuduh, Mohd Shahrullah Khan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Alif Teega dituduh salah guna wang infaq lebih RM63,000

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here