Khairul Amri Ahmad

KUANTAN – Kanak-kanak lelaki yang didera secara mental oleh bapa kandung kini berada dalam keadaan stabil di bawah jagaan ibunya.

Ibunya, Siti Masitah Hussain, 25, ketika dihubungi mengesahkan anaknya telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.

”Alhamdulillah, anak berada dalam keadaan baik dan semua selamat, dia kini dalam jagaan saya.

”Saya dalam perjalanan pulang bersama anak pulang ke kampung halaman di Kelantan hari ini,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Difahamkan semasa kanak-kanak berusia 2 tahun 6 bulan itu  menerima rawatan susulan di HTAA dengan kehadiran Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, pihaknya akan membuat pemantauan susulan terhadap mangsa bagi memastikan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak itu.

”Selepas mangsa mendapat pemeriksaan perubatan di HTAA, demi kepentingan yang terbaik terhadap kanak-kanak, Pelindung telah menyerahkan kembali anak kepada ibu kandung pada 19 September 2024.

”Mengikut laporan akibat penderaan tersebut, kanak– kanak mengalami sedikit lebam di bahagian pipi kiri.

”Difahamkan pelaku (bapa kandung) telah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia(PDRM),” katanya.

Semalam, polis menahan seorang lelaki susulan sebuah video seorang kanak-kanak lelaki menangis teresak-esak di kelilingi unggun api dipercayai didera secara mental oleh ayahnya.

Suspek berusia 35 tahun dipercayai menghantar video berkenaan kepada isterinya sebagai ugutan dan protes berkaitan kemelut rumahtangga mereka di mana suspek tidak bersetuju dengan proses penceraian.

Lelaki yang berasal dari Terengganu itu juga disahkan positif Methamphetamine dan mempunyai 12 rekod kes jenayah lampau kemudiannya berjaya ditahan polis di Maran pada kelmarin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here