Kalai Kumar Anandan, sedang diburu polis. Foto ihsan IPD Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Polis masih menjejaki seorang banduan lelaki bernama Kalai Kumar Anandan yang melarikan diri semasa menerima rawatan di wad Hospital Sungai Buloh, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya melaksanakan sekatan laluan untuk menjejaki dan menangkap semula banduan warga tempatan berusia 27 tahun itu.

“Semasa kejadian banduan dihantar ke Hospital Sungai Buloh atas sebab telinga berdarah dan sedang menerima rawatan di katil wad.

“Banduan ini melarikan diri dengan cara meloloskan tangan yang digari pada katil sebelum menghilangkan diri dari hospital terbabit kira-kira jam 3.30 petang, ” katanya secara ringkas hari ini.

Berikutan itu, beliau, memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya melihat pergerakan serta keberadaan banduan atau sebarang maklumat yang boleh membantu pencariannya.

Semalam, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pihaknya menubuhkan satu pasukan pencarian dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia untuk mengesan banduan reman tersebut.

Pada masa yang sama, Jabatan Penjara turut menubuhkan Lembaga Siasatan untuk mengenal pasti punca kelarian banduan tersebut.

“Jika didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Jabatan Penjara memohon Kerjasama awam agar menyalurkan maklumat mengenai individu yang mencurigakan dengan segera menghubungi penjara Sungai Buloh melalui talian 03-6184 3333 atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222,” sebut kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette

Jabatan Penjara lancar gerakan cari banduan reman lolos dari Hospital Sungai Buloh

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here