Abdullah Husin
Abdullah Husin

KLUANG – DAP kini didakwa berjaya mendominasi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi jalinan kerjasama politik yang dibentuk.

Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin berkata, keadaan tersebut menyebabkan UMNO terpaksa membela DAP dalam beberapa isu sebelum ini.

“DAP kini mendominasi PH termasuk UMNO dan BN. Jadi apa yang mereka boleh buat.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun bela mereka baru-baru ini, inilah yang berlaku dan bagi kita, kita mesti mempertahankan kesatuan umat Islam ini.

“Perpaduan rakyat bermula daripada orang Malayu dan Islam,” katanya berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, undi anak muda penting dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, ini kerana bilangan pengundi muda dalam PRK DUN Mahkota besar jumlahnya.

“Kalau kita lihat data dan statistik, daripada 66,318 pengundi di DUN Mahkota, seramai 30,395 adalah anak muda, hampir 50 peratus (pengundi DUN Mahkota) adalah anak muda.

“Mengikut pecahan pula, terdapat 9,526 pengundi muda berusia 18 hingga 25 tahun iaitu lepasan sekolah menengah termasuk yang masuk universiti,” katanya.

Tambah beliau, seramai 20,869 pula mereka yang berusia antara 26 hingga 40 tahun.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here