PUTRAJAYA – Pendidikan awal mengenai etika dalam teknologi harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum supaya generasi muda dapat membesar sebagai individu yang celik teknologi tetapi dalam masa sama bertanggungjawab dalam penggunaannya.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ini penting demi memastikan generasi muda didik tentang potensi dan risiko berkaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Dalam meniti arus perkembangan teknologi ini, kita juga tidak boleh mengabaikan aspek pendidikan dan pembudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus Dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (Artificial Intelligence Governance And Ethics – AIGE).
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang: Timbalan Menteri Mohammad Yusof Apdal dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Terdahulu Fadillah berkata, Garis Panduan Tadbir Urus Dan Etika Kecerdasan Buatan Negara bukan sahaja menyediakan kerangka kerja bagi pengguna, penggubal dasar dan penyedia teknologi AI, dalam masa yang sama juga memastikan setiap langkah yang diambil selaras dengan prinsip-prinsip etika.
Ini termasuklah aspek keselamatan, privasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang kesemuanya perlu diutamakan dalam penggunaan teknologi ini.
Tambah beliau, salah satu kepentingan garis panduan tersebut adalah memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap peringkat pembangunan dan penggunaan AI.
“Ini sebagai bukti komitmen daripada pihak Kerajaan untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap teknologi ini.
“Kita juga perlu memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh sistem AI adalah berasaskan data yang tepat dan bebas daripada sebarang bentuk bias yang boleh menjejaskan keadilan dan kesaksamaan,” katanya lagi.
Menurut beliau, meskipun industri AI mampu menjana peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti namun dalam masa yang sama implikasinya terhadap sosial dan ekonomi perlu diambil kira.
“Oleh itu, perancangan yang rapi perlu dilakukan untuk memastikan bahawa tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette